KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di pejabatnya, di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.
Perjumpaan tersebut turut dihadiri Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali, kunjungan pihaknya itu bertujuan memaklumkan kepada Premier Sarawak mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
“Sebelum ini kita telah melaksanakan sesi-sesi pertemuan dan penerangan kepada kerajaan-kerajaan negeri seperti Johor, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah.
“Hari ini adalah sumbangan proses yang mana kita memberi taklimat dan penerangan mengenai CPTPP kepada Yang Amat Berhormat Premier,” katanya kepada media selepas kunjungan hormat itu.
Ujarnya, beberapa isu juga telah dibangkitkan mengenai Kajian Analisis Kos-Faedah (CBA) yang selesai dilaksanakan oleh MITI dan akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa yang terdekat.
“Kita juga membincangkan mengenai manfaat-manfaat yang telah pun dikenalpasti mengenai CBA termasuk memberi maklum balas yang terkini kepada Premier berkenaan dengan pelbagai perkara kepentingan negeri-negeri yang telah dibangkitkan semasa perbincangan yang telah dilaksana oleh MITI sebelum ini.
“Ini termasuklah berkenaan dengan peranan kerajaan negeri, urusan berkaitan tanah, urusan berkaitan kepentingan bumiputera, program-program berkaitan bumiputera mahupun isu-isu buruh dan sebagainya,”jelasnya.
Justeru tambah Datuk Lokman, Premier Sarawak telah mengambil maklum serta meneliti teks yang disampaikan oleh MITI dan akan bekerjasama untuk melihat input yang boleh dipanjangkan berkenaan CPTPP dari semasa ke semasa.
Untuk rekod, CPTPP telah ditandatangani oleh Malaysia sebelum ini di Santiago, Chile dan kini telah mempunyai 11 ahli yang mana lapan telah diratifikasi, manakala tiga termasuk Malaysia belum diratifikasi tetapi telah ditandatangani.
Hadir sama, Penasihat Kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais dan Pengarah MITI Wilayah Sarawak, Griffith Jones Goba. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS